Saturday 5 December 2015

DINAR EMAS ELAK MANIPULASI

Teks: Noor Naseffa Bt Mohd Nasir
Gambar : Google
Entri 21



Assalamualaikum dan Salam Keemasan,

Alhamdulillah syukur yang tidak terhingga kerana Allah S.W.T masih lagi memanjangkan usia kita untuk berbuat amal kebaikan. Percayalah, setiap detik yang berlaku pasti mendapat perhitungan dariNya. Marilah kita sama-sama audit dan semak diri, semoga setiap saat yang kita laksanakan di bumi bertuah ini mendapat keredhaan dari Nya. Saya doakan semoga kita semua dalam limpahan kasih sayang Allah S.W.T.

Pada hari ini saya ingin kongsikan artikel yang telah saya ambil sumbernya dari blog Ustaz Zaharuddin yang berkaitan dinar. Dinar emas merupakan matawang yang telah digunakan sejak zaman dahulu kala dan menjadi fungsi dalam bidang muamalah Islam. Terdapat juga ayat Al-Quran yang jelas menunjukkan kesahihan penggunaan dinar dalam Islam.

Ali ‘Imran(3), ayat 75
75. Di antara Ahli Kitab ada orang yang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu; dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya satu DINAR, tidak dikembalikannya kepadamu, kecuali jika kamu selalu menagihnya. Yang demikian itu lantaran mereka mengatakan: Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang ummi. Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahui. (QS. 3:75) 

 Semoga memberi manfaat kepada kita semua.

Dinar Emas Elak Manipulasi ( Nik Aziz & Dr Mahathir) 
KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa anggota gabungan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) supaya menggunakan Dinar Emas untuk menghalang Amerika Syarikat dan Yahudi terus menguasai ekonomi dunia.
Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi, Nik Aziz mempersoalkan jika Kesatuan Eropah boleh menggunakan Euro sebagai matawang sendiri, mengapa tidak negara OIC.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan, penggunaan dinar boleh menjadi teras kepada penyatuan negara umat Islam dari sudut ekonomi untuk bangkit dari dibuli penjajahan kuasa besar dunia.
Nik Aziz turut mengesyorkan kerajaan Malaysia, supaya mengambil langkah positif, meneruskan cadangan dan landasan yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.
"Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata," tegasnya. Kerajaan Negeri Kelantan menurutnya mengorak langkah pada tahun lalu untuk memperkenalkan dinar emas kepada rakyatnya.
Beliau turut berbangga kerana pelancaran dinar emas mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Kelantan dan pelancong yang berkunjung ke negeri Serambi Mekah itu.
Nik Aziz berkata demikian dalam Majlis Makan Malam sempena 'Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar' yang dianjurkan di PWTC pada 24 dan 25 Julai ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv.
Selain Dr Mahathir sebagai pemidato utama, persidangan dua hari itu mengemukakan beberapa tokoh ekonomi Islam antarabangsa antaranya, Profesor Madya Dr Ahamed Kameel Mydin Meera, Profesor Masudul Alam Choudhury, Sheikh Imran N. Hosein, Umar Ibrahim Vadillo, dan lain-lain.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Naib-naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.
Teks penuh ucapan Tuan Guru Nik Aziz seperti berikut:
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, longgokan harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda, lagi terlatih, dan binatang-binatang serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu adalah kesenangan hidup di dunia(yang bersifat sementara). dan (ingatlah), pada sisi Allah adalah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga yang kekal abadi).
(Surah Ali Imran, ayat 14)
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah subhanahu wa taala, kerana hanya dengan limpah izin dan inayah-Nya sahaja, kita dapat menjayakan majlis makan malam, sempena "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa" yang sangat penting lagi amat bersejarah ini.
Dato'-dato', Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekelian,
Pada tanggal 27 Syaaban 1427 hijriah, bersamaan 20 September 2006 yang lalu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mudahkan kepada rakyat Kelantan amnya, dengan penjualan kepingan-kepingan dinar yang diperbuat daripada emas tulen 22 karat, bersamaan seberat 4.25 gram.
Pelancaran emas dinar Kelantan tersebut, bukanlah bermaksud Kerajaan Negeri Kelantan mahu menggantikan penggunaan ringgit Malaysia dengan dinar!
Kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat sekalipun, tidak mampu, malah tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Bahkan, kerana wujudnya perjanjian di peringkat antarabangsa, yang memutuskan bahawa emas dan perak tidak lagi boleh dijadikan mata wang dalam ekonomi semasa.
Tindakan mewadahkan dinar yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan, sama sekali tidak bertentangan dengan peraturan dan amalan bank negara, kerana pada tahun 2003 yang lalu, Bank Negara sendiri pernah memperkenalkan wadah dinar kepada rakyat.
Sehingga hari ini, tuan-tuan dan puan-puan masih boleh membeli dinar, yang ditempah dan dijual oleh The Royal Mint dengan tiada apa-apa masalah.
Sememangnya budaya ekonomi Islam adalah berteraskan dinar dan dirham. Dalam al-Quranul karim, perkataan dinar dan dirham ada termaktub dalam Surah Ali Imran ayat 75 dan juga dalam surah Yusof ayat 20.
Maksudnya:
Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya.
(Surah Ali Imran : 75)
Maksudnya:
Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja...
Kedua-dua ayat al-Quran ini menceritakan, bahawa penggunaan wang dinar dan dirham, telah pun berlangsung sejak ribuan tahun, sebelum kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w lagi.
Selain daripada ayat al-Quran, terdapat banyak hadis-hadis yang menceritakan, tentang penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang, sehingga ke zaman Rasulullah s.a.w, sebagaimana sabda baginda : maksudnya:
"Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. Dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu.
Dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis di atas membuktikan bahawa, asas sistem matawang yang digunakan di sepanjang sejarah ketamadunan manusia, sejak zaman nabi-nabi yang terdahulu, sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad s.a.w, adalah dalam bentuk mata wang dinar dan dirham.
Bahkan sistem inilah, yang telah diamalkan di sepanjang pemerintahan Khulafa' ar-Rasyidin, sehingga berakhirnya zaman pemerintahan kerajaan atau Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 Masihi.(Untuk ditukar dengan sistem sekular Ataturk dan telah menimbulkan seribu satu masalah kepada al-insan).
Sejarah juga telah membuktikan bahawa negeri Kelantan berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam suatu ketika dahulu, pihak Kerajaan Kelantan sentiasa membayar ufti kepada kerajaan Siam pada setiap tahun, dengan menghantarkan sebilangan kepingan-kepingan wang emas, yang digubah dalam bentuk bunga emas.
Ini membuktikan bahawa, penggunaan wang dinar emas bukan hanya digunakan umat Islam di Timur Tengah sahaja, tetapi telah digunakan secara meluas sehingga ke Adia Tenggara, termasuk Negeri Kelantan sejak ratusan tahun yang lalu.
Para Hadirin sekalian,
Saranan supaya kembali kepada penggunaan wang dinar emas, sebagai teras ekonomi pada zaman globalisasi ini, bukanlah dimonopoli oleh penganut agama Islam sahaja.
Bahkan ramai juga ahli-ahli ekonomi dari kalangan bukan, yang inginkan wang komoditi, khasnya dalam bentuk kepingan emas dan perak kerana kestabilan dan jaminan kebebasan yang dikandungnya.
Mereka berpendapat, alasan utama mengapa sistem wang komoditi seperti dinar emas, tidak dibenarkan oleh pihak-pihak tertentu, bukanlah disebabkan kekurangan kemahiran teknikal tetapi kerana wang komoditi mampu menggantikan sistem monetari konvensional.
Oleh kerana penggantian tersebut boleh menjadi ancaman besar, khasnya kepada kepentingan ekonomi Amerika dan Yahudi sedunia menyebabkan pihak-pihak yang berkepentingan itu gemar membuat alasan bahawa kononnya jika emas dan dinar dijadikan sebagai matawang ia akan mudah tercicir, atau poket akan cepat tembus, kerana berat membawa wang dari emas.
Dato'-dato', datin-datin, tuan-tuan, dan puan-puan yang dihormati sekalian,
Emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dollar hanya pada awal tahun 1970-an. Wang dollar tidak lagi disandarkan kepada emas, tetapi nilainya turun naik mengikut gelora permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing.
Justeru, kita perlu melihat usaha pengembalian dinar dan dirham ini, sebagai usaha menegakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan lebih telus.
Bukannya satu agenda untuk meraih populariti. Bahkan sebagai satu tanggungjawab untuk mengembalikan semuala kefahaman umat Islam khasnya, berhubung peradaban dan sejarah penggunaan dinar dan dirham, serta bertujuan untuk memberi kesedaran dan keyakinan, terhadap penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada sistem matawang, terutamanya dengan mempelopori penggunaan dinar sebagai simpanan, mas kahwin, membayar zakat, pemberian hadiah, dan sedekah untuk bekal akhirat sebagai harta cagaran di pusat-pusat gadaian ar-Rahnu, sebagai upah kepada perkhidmatan atau sumabangan yang tertentu dan sebagainya.
Saya telah difahamkan bahawa sehingga ke tarikh ini, sejumlah lebih RM600 ratus ribu nilaian wang emas dinar Kelantan, telah dibeli oleh masyarakat umum. dan yang sangat menariknya, pelancong-pelancong dan pelawat-pelawat dari luar Kelantan juga, berebut-rebut untuk memiliki dinar emas keluaran kerajaan Kelantan.
Sama ada sebagai cenderamata, mahupun untuk lain-lain kegunaan mengikut keperluan masing-masing. Ini semua membuktikan bahawa, usaha ke arah mengembalikan semula penggunaan mata wang dinar, mempunyai masa depan yang amat cerah, dan akan mendapat sokongan daripada pelbagai masyarakat di seluruh dunia, tanpa mengira agama, bangsa, bahasa dan budaya. Para hadirin sekalian,
Saya selaku Ketua Kerajaan Negeri Kelantan, akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya, walaupun dalam bidang yang terhad kepada perjuangan "Gold Dinar Economy" kerana ia merupakan satu perjuangan suci, yang dapat menyatukan dan mendaulatkan kembali umat Islam serta negara-negara kecil sedunia, daripada terus dijajah dan dibuli oleh kuasa besar ekonomi dunia.
Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC.
Perkara ini bukan merupakan isu ekonomi semata-mata.
Ia sebaliknya mengandungi kemaslahatan umum yang bersifat sejagat, yang perlu diperjuangkan secara konsisten oleh kita semua. Jika negara-negara Kesatuan Eropah boleh menggunakan matawang mereka sendiri, dengan nama mata wang Euro, mengapa tidak kita negara-negara OIC menggunakan mata wang dinar?
Saya serahkan kepada pakar-pakar ekonomi kita, untuk terus berjuang memberi kefahaman kepada masyarakat Islam, terutamanya pimpinan dan golongan cendikiawan.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur persidangan ini, dan juga semua pembentang kertas kerja, sama ada dari luar negara mahupun dari dalam negara, yang sama-sama telah bersatu tenaga dan idea, dalam menjayakan "Persidangan Ekonomi Dinar Emas peringkat Antarabangsa," yang sangat penting lagi sangat bersejarah ini. - mks.


a
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun urusniaga menggunakan dinar emas boleh mengelak manipulasi dan penipuan, tetapi malangnya tiada negara, termasuk negara Islam yang mahu melakukannya.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi Emas Dinar 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.


Beliau berkata, seketika dahulu Malaysia pernah mahu menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat cadangan khusus supaya kerajaan menggunakan dinar dalam urusniaganya.

"Tetapi kita masih boleh melaksanakannya hari ini kerana Dolar Amerika tidak ada nilai," katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa.

Katanya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

Bagaimanapun, katanya, untuk menjadikan dinar emas sebagai wang alternatif perniagaan bukanlah mudah kerana ia boleh menyebabkan ekonomi negara gagal atau musnah.

Sementara itu dalam ucaptamanya, Dr Mahathir berkata, sekalipun Malaysia menggunakan dinar emas, namun sistem perdagangan lama terus digunakan.

"Apabila kita memperkenalkan perbankan Islam, sitem perbankan lama masih dikekalkan," katanya.

Beliau berkata, Bank Pusat patut menerima bayaran dari pengimport di dalam negeri dan dan digunakan untuk membayar kepada pengekport dari negara sama.

Bagaimanapun, kata Dr Mahathir, dinar emas masih mempunyai masalah iaitu dari segi pengangkutan kerana ia sangat berisiko.

Bekas Perdana Menteri itu juga berkata, umat Islam hari ini menjadi lebih kaya dari sebelumnya, khususnya dari segi pendapatan dalam dolar Amerika, tetapi tidak menggunakan sistem perbankan ataupun atau wang untuk kepentingan mereka.

Menurut Dr Mahathir, mereka sebaliknya menyimpan wang di negara luar khususnya di Amerika yang digunakan oleh kuasa besar itu untuk membunuh orang Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan.

"Saya kira para ulama perlu mengeluarkan fatwa bagaimanakah hukumnya orang Islam yang menyimpan wang di Amerika yang kemudiannya digunakan untuk membunuh orang Islam sendiri," katanya.

Turut serta dalam persidangan yang dianjurkan Institut Penyelidikan dan Kajian Startegik Kelantan (KRISS) dengan kerjasama Marslio adalah penasihat-penasihat kewangan Bank-Bank tempatan, pakar-pakar ekonomi luar negeri dan tempatan serta pelajar-pelajar ekonomi Universiti tempatan dan antarabangsa.


Kepada sesiapa yang memerlukan rundingan simpanan emas, bolehlah berhubung dengan saya untuk keterangan lanjut. Marilah kita memartabatkan simpanan dinar emas.

Salam Keemasan,
Cikgu emas online
0197482231

No comments:

Post a Comment

Copyright to CELIK EMAS
Designed by UMIESUEstudio 2015